May 14, 2026 - FASSelangor FC berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir ACC Shopee Cup™ selepas menewaskan Nam Dinh FC 2-0 dalam aksi separuh akhir timbal balik semalam, sekali gus mencatat kemenangan agregat 4-1.
Perlawanan berlangsung dengan intensiti tinggi dari awal hingga wisel penamat. Kedua-dua pasukan bertarung sengit dalam aspek serangan dan pertahanan. Chrigor Moraes muncul sebagai wira Gergasi Merah apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-40 untuk membuka jaringan, sebelum mengesahkan kemenangan pada saat-saat akhir menerusi gol hasil bantuan Zikri Khalili. Nam Dinh FC berusaha keras untuk mengubah kedudukan, namun mereka gagal menembusi kekentalan benteng pertahanan Selangor FC di Stadium Thien Truong. Kemenangan ini mengesahkan Selangor FC mara ke perlawanan akhir ACC Shopee Cup™ 2025/26 dalam tahun pertama penyertaan mereka.
Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon, persembahan pasukan semalam membuktikan mereka layak ke perlawanan akhir ACC Shopee Cup™.
“Pertama sekali, saya sangat bangga dengan para pemain. Mereka menunjukkan komitmen, ketekunan dan kerjasama berpasukan yang luar biasa, serta melaksanakan perancangan permainan dengan cemerlang. Walaupun berdepan serangan hebat dari Nam Dinh FC, pemain-pemain kekal tenang, mengikuti sistem yang telah dirancang dan berjaya menjaringkan gol pembukaan. Prestasi mereka hari ini mencerminkan kualiti yang telah kami bina dari semasa ke semasa,” kata Kim Pan-gon mengenai persembahan pemain dalam perlawanan semalam.
“Kami telah mengkaji Nam Dinh FC dengan teliti dan menyediakan strategi untuk menentang mereka, namun mereka adalah pasukan yang kuat. Secara keseluruhan, saya percaya Selangor FC layak ke perlawanan akhir, dan kami akan terus memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong Gergasi Merah, sama ada yang hadir di stadium mahupun yang memberi sokongan dari rumah. Sokongan anda amat bermakna dan kami sentiasa berjuang demi anda,” tambahnya lagi.
Perlawanan akhir akan berlangsung secara timbal balik. Selangor FC akan berdepan juara bertahan ACC Shopee Cup™, Buriram United FC, pada 20 Mei di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada jam 9 malam, dan 27 Mei di Stadium Buriram, Buriram pada jam 8 malam waktu Malaysia.
Selain itu, minggu ini skuad Selangor FC akan mengharungi satu lagi perlawanan penutup yang sengit bagi menentukan kedudukan tempat kedua saingan Liga Super 2025/26 dengan melayan kunjungan PDRM FC pada hari Ahad ini, 17 Mei pada jam 8:15 malam.
Pihak pengurusan Selangor FC bangga dengan persembahan yang dipamerkan oleh para pemain dalam perlawanan semalam. Semangat juang yang cukup sinonim dengan gelaran pasukan. Ayuh, teruskan perjuangan kita!
Demi Kebanggaan!
Kesebelasan Utama: Sikh Izhan, Quentin Cheng, Mohammad Abualnadi, Faisal Halim ©, Noor Al Rawabdeh, Hugo Boumous, Safuwan Baharudin, Syahir Bashah, Mamadou Diarra, Chrigor Moraes & Vitor Pernambuco.
Pertukaran pemain: 59’ Zikri Khalili > Vitor Pernambuco, 78’ Harith Haiqal > Hugo Boumous, 79’ Nooa Laine > Syahir Bashah, 90+2’ Izwan Yuslan > Mohammad Abualnadi & 90+2’ Mukhairi Ajmal > Faisal Halim.